Rock ialah sejenis muzik popular yang menonjolkan nyanyian (sering dengan keharmonian vokal), gitar elektrik, gitar bes, serta rentak genap yang kuat. Alat muzik yang lain, seperti keyboard (organ, piano, pensintesis, dan hon (saksofon, trompet, trombon) biasa juga digunakan dalam sesetengah gaya, tetapi hon tidak lagi digunakan dalam subgenre muzik rock yang lebih baru sejak 1990-an. Bilangan genre rock adalah banyak, dan sempadannya ditakrifkan secara kurang tepat, dengan genre-genre yang tidak begitu berkaitan, seperti muzik soul, kekadang juga dimasukkan. Satu pengaruh pembentukan rock yang utama ialah rock ‘n’ roll, sehingga kedua-dua istilah kekadang digunakan dengan saling boleh tukar. Pada awal 1960-an ketika rock ‘n’ roll tidak menjadi fesyen lagi, permulaan rock British telah menyebabkan desakan untuk menggunakan istilah muzik rock.

Pengaruh muzik Rock di Malaysia mula berkembang pada pertengahan tahun 1980-an. Pada waktu itu, muncul kumpulan-kumpulan rock tempatan sebagai hasil daripada pengaruh budaya muzik rock barat, terutamanya daripada kumpulan Led Zeppelin, Van Halen, Deep Purple, Black Sabbath dan lain-lain. Kemunculan kumpulan rock tempatan menjadi semakin galak dengan penganjuran pelbagai pertandingan muzik rock peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Batu-Batu Perjuangan, Pesta Hiburan Kingsway, Festival Rock dan Battle Of The Bands 1 & 2 dan lain-lain.
Setelah detik itu, demam rock terus melanda Malaysia sehinggakan ia berjaya menjadi fenomena dalam kalangan rakyat jelata. Bahkan demam rock ini telah membuatkan anak muda berubah penampilan kepada imej rock dan ramai remaja berlumba untuk menubuhkan kuimpulan rock sendiri.Mereka juga berimpian untuk menjadi gagah seperti Metallica dan Scorpions dalam arena rock. Demam rock ini juga dibantu oleh penulis lirik dan komposer yang berjaya menghasilkan lagu berkualiti tinggi.
Kemuncak kepada muzik rock tanah air apabila lagu Isabella nyanyian kumpulan Search berjaya memenangi Anugerah Juara Lagu 1989. Kumpulan rock juga berjaya menguasai pentas Anugerah Juara Lagu 1991 yang menyaksikan lagu Takdir dan Waktu berjaya menggondol tempat pertama. Hal ini adalah pencapaian terbaik bagi aliran muzik rock tanah air.
