Hujan merupakan sebuah kugiran rock Malaysia yang berasal dari Miri, Sarawak. Diasaskan pada tahun 2005 oleh Noh Salleh, kugiran ini terdiri daripada vokalis dan gitaris Noh Salleh, gitaris Hezry “AG” Hafidz, pemain bes dan keyboard Hang Dimas dan pemain dram Azham Ahmad sebagai ahli asal. Bekas ahli kumpulan termasuk Nazeri Nazirul dan Azhar Imran. Kini, Hujan terdiri daripada Noh, AG, Azham dan Izzat Huzaini. Peminat Hujan digelar sebagai Raingers, kerana nama band itu diterjemahkan kepada hujan dalam bahasa Melayu.

Kugiran Hujan bermula di laman media sosial Myspace, di mana kebanyakan ahli kumpulan berhubung melaluinya walaupun tidak mengenali sesama mereka pada awal perkenalan namun berkongsi minat yang sama. Noh Salleh memuat naik beberapa demo di Myspace dan mula diterima secara umum.Hujan melabelkan genre yang dibawa oleh mereka sebagai rock indie, rock garaj rock alternatif. Mereka lebih cenderung mendendangkan lagu dalam Bahasa Malaysia. Lagu yang boleh dikatakan telah menaikkan nama mereka ialah lagu “Pagi Yang Gelap”. Populariti kumpulan ini semakin meningkat setelah single kedua, “Bila Aku Sudah Tiada” mula dimainkan di stesen-stesen radio tempatan, dan mengulangi kejayaan single pertama mereka. Antara artis yang dinyatakan sebagai pengaruh dan ilham kepada mereka ialah The Strokes dan Butterfingers.

Mereka pernah membuat persembahan di United Kingdom melalui Jelajah Hujan ke UK yang bukan sahaja untuk mempromosikan dua buah EP Hujan yang sudah diterbitkan iaitu 1,2,3 Go ! dan Check Check Rock Rock malah mereka turut menjual baju T dan lencana istimewa Hujan. Di sana, mereka membuat persembahan di Oxford Bar (Manchester), Zanzibar (Liverpool), Sheffield dan Cardiff.

Pada 2009, mereka melancarkan konsert jelajah Malaysia yang dinamakan “Mencari Konklusi Tour” seiring dengan album Mnecari Konklusi yang telah diadakan di seluruh negara. Jelajah itu diakhiri dengan konsert finale di Kuala Lumpur yang mendapat sambutan hangat. Dan mereka juga sekali lagi menjelajah ke Eropah setelah diundang bagi bersama kumpulan rock legenda Malaysia, Search mengadakan konsert di Dublin dan London.Hujan telah mengeluarkan album ke-3 mereka Lonely Soldier Boy yang dilancarkan pada 25 November 2010. Album ini mendapat sambutan hangat di kalangan peminat muzik tempatan terutamanya peminat tegar mereka sendiri yang digelar Raingers.

Hujan tampil dengan penuh kelainan berbanding sebelumnya dengan album Sang Enemy yang bergenre post-Hardcore dan metalcore. Bergandingan dengan Love Me Butch , Hujan melangsungkan konsert jelajah mereka pada sekitar Mei-Jun 2013, yang digelar Hujan X Love Me Butch Tour 2013.Album kelima Hujan, Jika Sempat dikeluarkan pada April 2016. Kebanyakan lagu di dalam album ini ialah koleksi lagu lama mereka yang tidak pernah dikeluarkan. “Jika Sempat” dan “Kamar Sepi” dikeluarkan sebagai single.