TMM 2024 perkasa semula pelancongan Melaka

MELAKA: Kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan semula sektor pelancongan melalui pelbagai strategi dengan hala tuju pembangunan Melaka untuk muncul sebagai tiga destinasi pelancongan popular di Malaysia dan terunggul di dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) mampu merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini yang terjejas sewaktu pandemik Covid-19.

Menurutnya, sempena menyambut kemeriahan TMM 2024 kerajaan negeri telah mewajahkan Melaka dengan pelbagai produk pelancongan terbaharu seperti Melaka River Floating Market, Eco Cruise Sungai Linggi dan Melaka Car Free Zone atau Zon Bebas Kenderaan yang secara tidak langsung dapat memberikan lebih banyak pilihan destinasi pelancongan kepada para pelancong ke Melaka.

Majlis pelancaran penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni, Warisan dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Pada majlis pelancaran itu lebih 40,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan ambang Tahun Baharu dan pelancaran TMM 2024 di Pengkalan Rama. Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan artis tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Zamani, Siti Nordiana, Ernie Zakri serta pasangan adik-beradik, Ziana Zain dan Anuar Zain.