Kerajaan Negeri berhasrat menyediakan sebanyak 250,000 akaun pengguna yang menggunakan domain @Melaka.my bagi melengkapkan inisiatif kewujudan Kampung Digital.

 

Ketua Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Melaka, Fauzi Elham berkata, setiap pengguna (penduduk Melaka) akan diberikan emel khas bagi memudahkan proses penyaluran maklumat.

 

“Perancangan kita adalah untuk wujudkan akaun pengguna dengan jumlah berkenaan, emel khas ini meliputi semua penduduk termasuk pelajar sekolah, pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), komuniti kampung dan lain-lain.

 

“Apabila rakyat Melaka mempunyai emel khas ini, lebih mudah untuk Kerajaan Negeri menyalurkan segala maklumat secara terus kepada mereka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

 

Mengulas lanjut, Fauzi berkata dengan menyediakan emel khas berkenaan, Kerajaan Negeri lebih mudah membuat perancangan dan pembangunan di masa akan datang.

 

“Kita akan mempunyai data asas penduduk lebih mudah selepas ini, kita harap usaha ini dapat direalisasikan pada tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.

Source: Liana Sahabudin 

(Melaka Hari Ini)