Istana Mahligai Melaka

“ Adapun besar istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga-tiga depa luasnya; besar tiang tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya berkapar-kapar, pada antara kapa-kapa itu diberinya bumbungan melintang dan bergajah menyusu; sekaliannya bersayap layang-layang, sekaliannya itu diukir dan bersengkuap. Pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang bersagi; sekaliannya dicat dengan air emas.”

-Sulalatus Salatin

Ilustrasi 3 Dimensi Istana Mahligai Melaka oleh Mohd Faizal Rahmat
Menurut Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), Sultan Mansur Shah dikatakan pernah bersemayam di tiga buah istana. Istana pertama ditinggalkan akibat tragedi pemberontakan Hang Kasturi. (Dalam Hikayat Hang Tuah, pemberontakan dilakukan Hang Jebat). Istana kedua pula musnah dalam kebakaran manakala istana ketiga pula dikatakan sebagai Istana Mahligai yang wujud sehingga jatuhnya Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511.⁣
Istana Mahligai ini dikatakan dikerah oleh Sultan Mansur Shah untuk disiapkan dalam masa satu bulan. Persoalan sama ada tempoh satu bulan tersebut adalah sekadar perintah, ataupun benar-benar dilaksanakan tidaklah dapat dibuktikan. Namun, tempoh siap yang singkat adalah tidak mustahil berdasarkan tatacara pengurusan projek, pemilihan bahan binaan, konsep susun atur dan teknologi yang digunakan.⁣
Dari segi tatacara pengurusan projek, Sulalatus Salatin mencatatkan Istana Melaka didirikan oleh tukang-tukang yang datang dari 15 sub-etnik Melayu dari seluruh pelosok Nusantara. Setiap struktur bangunan dalam kawasan kompleks istana dibina secara pengkhususan. Setiap sub-etnik Melayu yang terlibat diberi kerja membina struktur bangunan yang berbeza.⁣
Dari segi pengawasan projek, Sulalatus Salatin mencatatkan bahawa tugas perlaksanaan pembinaan diserah kepada Bendahara. Walaupun begitu, semasa pembinaan istana kedua, Sultan Mansur Shah sendiri telah membuat lawatan tapak dan mengarahkan variasi dibuat kepada kawasan Penanggahan (dapur) di mana rasuk (beam) yang kecil telah ditukar kepada saiz yang lebih besar iaitu sehasta lebar dan sejengkal tebalnya. Dengan itu semestinya telah wujud pelan bangunan, pelan susunatur, dan juga perintah-perintah variasi semasa projek dijalankan.⁣
Jadi secara amnya, masa dapat dijimatkan kerana wujudnya pembahagian tugas, di mana setiap kumpulan tukang dibahagikan mengikut bidang kemahiran masing-masing. Produktiviti juga meningkat apabila setiap kumpulan bekerja dalam kelompok masing-masing di mana terdapat pesaingan sihat antara setiap kumpulan untuk mencapai tempoh siap yang ditetapkan.
 
Muat turun aplikasi Vivify secara PERCUMA untuk lebih informasi, promosi hebat dan cerita-cerita menarik di Melaka!

“ Kemuncaknya kaca merah, apabila kena sinar matahari, bernyala-nyala rupanya seperti manikam. Akan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin China yang besar, apabila kena panas matahari bernyala-nyala rupanya, kilau-kilauan tiada nyata benar dipandang orang. Adapun rasuk istana itu kulim, sehasta lebarnya, dan sejengkal tiga jari tebalnya. Akan birai istana itu dua hasta lebarnya, dan tebalnya sehasta, diukirnya rembatan pintu istana itu empat puluh banyaknya, semuanya bercat dengan air emas. Terlalu indah perbuat istana itu, sebuah pun istana raja yang di bawah angin ini tiada sepertinya pada zaman itu. Istana itulah yang dinamai orang ‘Mahligai Hawa Nafsu’; atap-atapnya tembaga dan timah disiripkan.”