Masjid Agong Melaka

Tapak Masjid Agong Melaka Bukan Dibawah Gerbang Santiago!

“Masjid Agong di zaman keagungan Kesultanan Melaka memang wujud tetapi tapaknya bukan di pintu gerbang Kota A Famosa, “Porta de Santiago” tetapi di sekitar Bulatan Kancil berhadapan Bangunan Stadhuys.” – Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)

Beliau berkata apa yang mengelirukan masyarakat adalah apabila mereka menganggap A Famosa itu adalah pintu gerbang arah selatan iaitu Porta de Santiago yang selalu menjadi tumpuan pelancong sedangkan ia adalah sebahagian daripada keseluruhan kota A Famosa itu sendiri.

Kota A Famosa bermula sebagai kota kecil digelar “Fortaleza de Malaca” yang dibina oleh Portugis sebagai benteng pertahanan untuk menangkis serangan pelbagai pihak termasuk Sultan Mahmud Shah dan armada Melaka pada ketika itu bagi mendapatkan kembali Melaka dari tangan Portugis. Untuk mengukuhkan kedudukan mereka, Portugis mula membesarkan kota tersebut lalu digelar A Famosa. Jadi, mengatakan Masjid Agong terletak di bawah kota A Famosa adalah benar. Cuma apa yang silapnya adalah persepsi masyarakat kita mengenai istilah A Famosa yang sebenarnya.

Mengenai Masjid Agong di era Kesultanan Melayu Melaka, memang ada sumber catatan Portugis dan sejarah Melayu yang mana ia telah dimusnahkan dan dibakar oleh penjajah Portugis sebaik sahaja mereka menakluk Melaka pada 1511. Masjid Agong ini memang benar wujud di sekitar situ dan kerana itulah pihak kerajaan Melaka membina sebuah surau yang dipanggil Surau Warisan yang terletak di bulatan kancil, sebagai simbolik adanya sebuah masjid di kawasan tersebut. Malahan memang ada binaan di bawah bangunan Stadthuys dan ia wujud sebelum bangunan itu dibina lagi. Cuma apa binaannya kita semua tidak mengetahui. Takkan nak robohkan Stadthuys pula kan?

Menurut PERZIM, kota A Famosa sebenarnya dibina di atas runtuhan Kota Melaka dengan menggunakan bahan sekitar termasuk runtuhan binaan masjid, istana, batu makan sultan, ulamak dan pembesar melaka dan pelbagai lagi. Kota (Melaka) ini besar dan ia menempatkan istana utama, istana permaisuri, kubu pertahanan dan penempatan rakyat jelata yang berkeluasan dianggarkan seluas tiga kilometer, jadi pelbagai binaan dalam kota ini yang digunakan Portugis untuk membina kota A Famosa.

Muat turun aplikasi Vivify secara PERCUMA untuk lebih informasi, promosi hebat dan cerita-cerita menarik di Melaka!